"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri." - Surah An-Nisa, ayat 36
Barisan wakil rakyat BN yang memenangi PRU13 lalu.
Atas kepercayaan itu, saya memulakan tugas saya seperti yang diamanahkan oleh rakyat. Setiap hari di hati saya sebaik melangkah keluar dari rumah, saya berniat agar segala kerja yang saya akan lakukan pada hari itu diberkati dan memberi manfaat kepada semua yang terlibat.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi kerana selain menggalas tugas sebagai ADUN Tioman, saya turut diberikan kepercayaan untuk menjalankan tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan Negeri Pahang. Ini semua adalah berkat doa semua rakyat yang telah menyokong dan mengundi saya.
Tugas sebagai ADUN Tioman serta EXCO Belia & Sukan Negeri Pahang bukanlah mudah. Lebih-lebih lagi tugas EXCO memerlukan saya bergerak ke seluruh Negeri Pahang bertemu belia dan menyokong program sukan yang dirancang oleh pertubuhan, jabatan, dan belia Pahang.
Ketika menghadiri sukan daerah Bentong baru-baru ini.
Saya juga berharap agar rakyat faham bahawa tanggungjawab saya semakin besar kerana kini saya EXCO Belia & Sukan untuk seluruh Negeri Pahang, bukan setakat DUN Tioman sahaja. Namun kebajikan dan kemajuan penduduk di DUN Tioman tidak sesekali saya abaikan kerana jasa anda kepada saya begitu besar sehingga membentuk diri saya hari ini.
Pintu pejabat saya di Pejabat UMNO DUN Tioman yang terletak bersebelahan Klinik 1Malaysia Rompin sentiasa terbuka untuk anda semua datang bertanya khabar dan mengadukan sebarang masalah. Sekiranya saya tiada di pejabat, saya telah mengarahkan petugas saya yang berada di sana supaya memaklumkan terus kepada saya jika ia penting dan memerlukan tindakan segera.
Akhir kalam saya untuk pos kali ini, saya mohon doa restu dari semua agar sentiasa mendoakan kesihatan saya. Saya akan sentiasa pulang untuk bertemu rakyat di DUN Tioman. Kalau ada kenduri-kendara atau apa-apa majlis, silalah jemput dan saya akan usahakan untuk menghadirinya. Tak perlulah buat persiapan besar. Cukup sekadar dapat bersua muka berbual bicara, itu sahaja pun sudah dapat mengubat rindu saya kepada penyokong yang sentiasa berada di hati. Sentiasalah juga kita berhubung samada di Twitter, Facebook, mahupun di blog ini.
Wassalam.